Thursday, April 16, 2009

Laluan gelap undang bahaya


KEBANYAKAN pejalan kaki yang menggunakan laluan antara stesen LRT Salak Selatan ke Bandar Sri Permaisuri adalah wanita, sekali gus meningkatkan lagi potensi berlakunya jenayah.


KUALA LUMPUR 16 April – Jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan berusaha mengurangkan peluang untuk penjenayah melakukan aktiviti mereka.

Bagi penduduk Bandar Tasik Permaisuri dekat sini khususnya kaum wanita, salah satu lokasi yang berpotensi menjadi sasaran penjenayah ialah laluan pejalan kaki ke stesen transit aliran ringan (LRT) Salak Selatan.

Walaupun jarak laluan itu pendek dan berhampiran dengan kawasan kedai tetapi risiko untuk berlaku jenayah tetap ada terutama pada waktu malam kerana tiada lampu menerangi laluan itu.

Perkhidmatan bas yang disediakan tidak banyak membantu kerana pengguna perlu menunggu lama, selain jarak antara stesen itu dengan kawasan pangsapuri Bandar Tasik Permaisuri yang tidak begitu jauh.

Seorang penduduk, Farizana Kamarizan, 31, berkata, dia lebih suka berjalan kaki balik ke rumah dari stesen LRT itu kerana lebih cepat berbanding menunggu bas.

Namun, dia tidak menafikan bahawa lampu yang tidak berfungsi di kawasan itu boleh membahayakan sesiapa sahaja yang menggunakan laluan tersebut.

“Memang kena fikir dua kali dan saya biasanya menunggu ada orang lain untuk jalan bersama-sama,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengguna yang ditemui, Norhayati Hashim, 26, berkata, laluan tersebut agak gelap pada waktu malam kerana lampu yang terdapat di kawasan tersebut tidak berfungsi.

Menurutnya, dia lebih rela menunggu bas daripada melalui jalan tersebut pada waktu malam.

“Saya rasa tidak selamat untuk melalui jalan tersebut pada waktu malam dan takut perkara yang tidak diingini terjadi.

“Lebih-lebih lagi saya sering melalui jalan tersebut seorang diri, ia agak bahaya,” katanya yang sering teringat kejadian-kejadian jenayah yang dilaporkan dalam akhbar.

Tambahnya, dia hanya melalui siar jalan tersebut pada waktu pagi.

Rohani Abdul Rahim, 50, pula berharap, pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil berat mengenai masalah itu serta segera membaiki lampu yang tidak berfungsi di kawasan tersebut.

Menurutnya, keadaan yang gelap dan tangga yang tinggi di kawasan itu juga menyukarkan warga emas seperti dia.

Tambahnya, dia juga lebih rela menaiki bas atau teksi daripada melalui siar kaki tersebut pada waktu malam.

“Masalah lampu di kawsan itu perlu dibaiki segera supaya pengguna yang menggunakan laluan itu berada dalam keadaan yang selamat dan selesa,” katanya.

Katanya, walaupun dia belum mendengar ada kes ragut atau samun di situ tetapi pihak berkuasa tidak sewajarnya menunggu sehingga ada mangsa untuk memperbaiki keadaan.

Menurut penduduk, lampu di laluan itu sudah tidak berfungsi sejak sebulan lalu dan cahaya dari kawasan kedai dan stesen LRT di situ tidak mampu menerangi kawasan pejalan kaki itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain keadaan gelap dan sunyi, laluan pejalan kaki itu juga dipenuhi dengan sampah-sarap yang dipercayai dibuang oleh pengguna laluan itu sendiri.

Sementara itu, seorang petugas RapidKL di stesen LRT tersebut berkata, laluan pejalan kaki itu berada di luar kawasan selenggaraan mereka.

“Kalau di kawasan stesen memang RapidKL bertanggungjawab, ini sudah di luar kawasan, jadi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai kuasa,” katanya.

Tambahnya, ada pengguna yang telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak DBKL, namun langkah bagi menangani masalah itu masih belum diambil sehingga kini.

No comments:

Post a Comment